Never Complete without U

Never Complete without U

Tuesday 1 March 2011

Aku ingin berubah....


Dulu aku tak macam ni. Masih teringat waktu awal aku memasuki sekolah agama, ia adalah saat yang paling aku suka. Aku banyak belajar tentang agama, tentang kehidupan. Daripada tak tahu apa-apa, aku belajar banyak benda dalam kehidupan. Daripada tak tahu tentang agama, aku banyak belajar halal dan haram, baik dan buruk. Daripada aku tak rajin solat, aku biasakan diri dengan solat wajib dan sunat. Aku rindu saat aku di sekolah berasrama dulu.

Bila dah habis sekolah, aku masuk ke universiti. Aku mula lalai dengan kehidupan dunia. Aku mula berjinak-jinak dengan kehidupan sosial. Aku mula lupa tentang agama, lupa tentang halal dan haram. Faktor memilih kawan juga menjadi salah satu sebab aku hanyut dalam dunia dan lupa bersyukur atas nikmat yang Allah berikan. Tapi aku tak ada masalah dalam berkawan sama ada dia baik ke, jahat ke, cacat ke atau sempurna, aku tak memilih kawan langsung. Janji aku suka ada ramai kawan.

Aku ingin sedar. Aku ingin berubah. Ya, berubah kepada yang lebih baik. Aku rindu untuk menjadi seorang yang sentiasa ingat kepada yang maha pencipta. Aku harap niat aku ni Allah permudahkan dan usaha aku untuk menjadi seorang yang lebih baik akan diberkati dan ditolong Allah. Segalanya kena bermula dengan solat. Jika tak lengkap solat seseorang tu, tak teguhlah agama yang ada padanya

Kini kehidupan yang berbaki beberapa lama lagi akan aku gunakan sebaiknya. Aku tak mahu lupa kepadaNya lagi. Dia berikan rezeki setiap hari dan aku malu sebab guna rezeki dariNya tanpa sujud dan syukur kepadaNya. Dia berikan aku nafas dan nyawa untuk hidup di dunia menikmati segala yang terbentang dan melampaulah aku jika aku tak ingat langsung padaNya. Aku nak jadi lebih baik dan aku tak nak fikir banyak perkara pasal kehidupan lagi. Biar Allah tentukan dan aku kena usaha juga.
Kehidupan sebagai pelajar sekarang akan aku gunakan sebaiknya. Aku nak tamatkan pembelajaran aku dan bekerja mencari rezeki yang telah ditetapkan Allah untukku. Sebenarnya rezeki ni ada di mana-mana, hanya tinggal kita nak cari saja. Jika dah cari tapi tak jumpa, maka tunggulah sama ada ia cepat atau lambat datang. Jika di dunia tak ada rezeki kita, di akhirat Allah akan bagi. Doa juga penting untuk dapatkan rezeki.

Mengenai soal kahwin atau jodoh aku serahkan semua kepada Allah kerana Dia telah tetapkan seseorang untuk aku nanti. Aku yakin tulang rusuk kiri aku yang pernah hilang ini akan kembali kepadaku dengan izinNya. Semuanya telah dicatatkan di Luh Mahfuz dan aku hanya perlu redha siapakah wanita yang telah Allah tetapkan untuk aku hidup bersamanya. Jika aku baik, maka baiklah wanita itu dan jika aku jahat maka jahatlah wanita itu. Moga ada lagi nyawa untukku habiskan bersamanya kelak.

Siapa yang tidak mengharapkan wanita yang akan dinikahinya adalah sebaik-baik wanita. Orang jahat pun nak isterinya seorang yang baik akhlaknya, cantik rupanya dan sempurna orangnya. Tapi walau hartanya banyak, keturunannya bagus, wajahnya cantik, ia takkan sama dengan kesempurnaan agama yang dimiliki wanita itu. Maka pilihlah yang beragama, yang faham tentang agama, yang patuh dengan agama.

kepada sesiapa yang telah aku aniaya, yang telah aku sakitkan hatinya, yang telah aku ambil haknya, aku mohon maaf dan ampun atas segala yang terjadi. Harap korang maafkan aku. Jika ada apa-apa yang perlu dituntut, hubungi aku, akan aku berikan tuntutan itu. Aku telah maafkan semua orang semalam. Aku rasa tenang dan gembira.